Jaguh karate kebangsaan, Syakilla Salni Jefry Krishnan, tidak akan berlatih dengan pengendali baru negara, Ali Reza Souleymani, sekurang-kurangnya sehingga April depan apabila mesyuarat khas Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) memutuskan dia akan dihantar ke Amsterdam, Belanda.

Mesyuarat khas MSN-MAKAF bersetuju bahawa Syakilla akan dihantar berlatih ke Amsterdam selama hampir tiga bulan bermula 1 Februari ini.

Syakilla, ranking ke-51 kelayakan Sukan Olimpik Tokyo, akan berlatih dengan sebuah kelab di Amsterdam sambil menyertai kejohanan K1 dan Serie A untuk memburu mata kelayakan ke temasya itu.

Situasi itu bermakna Syakilla tidak akan menyertai sesi latihan skuad negara yang dikendalikan Ali Reza sekurang-kurangnya sehingga pertengahan April depan.

Sebelum ini, dia tidak berlatih sejak tiga minggu lalu atas komitmen pelajaran.

"Ini sepatutnya menjadi proses yang bagus menuju ke kelayakan Olimpik dan ia lebih kompetitif. Bukan di Malaysia tiada atlet tetapi tidak ramai. Jadi, ia menjadi lebih menarik," kata Syakilla.

Selain Syakilla, mesyuarat khas itu turut bercadang menghantar tiga lagi atlet, termasuk pemenang pingat gangsa Sukan Asia, Prem Kumar.

Jika berjalan lancar, ia akan menjadi program latihan paling mahal dalam sejarah karate negara.

"Perancangan ini adalah sesuatu yang bagus kerana berlatih dengan atlet bertaraf dunia. Ia pasti akan menjadi lebih kompetitif. Memang ada jaminan dan sebab itu saya mengambil keputusan ini."

Sementara itu, MSN dan MAKAF menegaskan kepentingan program latihan di Amsterdam tanpa disertai pengendali baru.

Program itu mirip perancangan menghantar perenang kebangsaan, Welson Sim, ke Australia serta Muhammad Irfan Shamsuddin (lempar cakera) ke Republik Czech.\

"Saya rasa ini program yang biasa kami buat. Ini merupakan satu program berbeza berbanding atlet basikal trek negara, Azizulhasni Awang, yang melibatkan perancangan jangka panjang.

"Jurulatih akan mengendalikan skuad kebangsaan. Apabila bertanding, jurulatih akan bersama Syakilla di sana," kata Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

"Dalam masa sama, tiga lagi atlet karate mungkin akan dihantar ke Austria. Cuma, terima kasih kepada MSN kerana menyediakan program khas untuk karate, sama seperti yang sukan lain terima," tambah Setiausaha Agung MAKAF, Datuk Nur Azmi Ahmad.