Pelayar kebangsaan, Khairulnizam Mohd Afendy, menetapkan sasaran tinggi dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020 selepas Majlis Sukan Negara (MSN) meluluskan permintaan melanjutkan kontrak jurulatih yang juga bapanya, Afendy Abdullah, sehingga temasya itu nanti.

Penantian selama empat bulan tanpa jurulatih berakhir setelah MSN menawarkan kontrak baru kepada Afendy, individu yang membantu Khairulnizam menempah tiket awal Olimpik Tokyo selepas meraih pingat perak Sukan Asia Indonesia 2018.

Keputusan itu cukup melegakan Khairulnizam yang menyasarkan untuk sekurang-kurangnya layak ke perlumbaan akhir membabitkan 10 pelayar.

"Jurulatih saya telah dilanjutkan kontrak dalam masa terdekat dan perancangan akan dilakukan dengan segera. Segalanya akan terarah kepada Olimpik 2020 dan diharapkan kami dapat melakukan yang terbaik kerana sasaran telah ditetapkan," katanya.

Olimpik Rio 2016 menyaksikan Khairulnizam menduduki tangga ke-35 keseluruhan, sekali gus gagal ke perlumbaan akhir.

Seorang lagi pelayar, Nur Shazrin Mohamad Latif, turut layak ke Olimpik Tokyo dalam acara laser radial.