Persatuan Pelayaran Malaysia (MSA) meletakkan sasaran sekurang-kurangnya empat wakil negara mampu melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2020 Tokyo tatkala tumpuan diberikan kepada acara international 470.

Buat masa ini, dua pelayar negara, Khairulnizam Afendy dan Nur Shazrin Mohd Latif, sudah mengesahkan tiket ke Sukan Olimpik selepas mencapai kejayaan dalam Sukan Asia.

Namun, Presiden MSA, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim, mahu ada kemajuan berbanding Olimpik 2016 dengan penambahan dua lagi wakil daripada acara international 470 dalam kategori lelaki dan wanita.

Saingan international 470 lelaki ketika ini diwakili oleh Faizal Norizan dan Ahmad Syukri Abdul Aziz sementara Nuraisyah Jamil serta Nurashikin Mohd Sayed mengisi slot wanita.

"Kami masih berpeluang dalam beberapa kejohanan untuk cuba melayakkan diri dalam kelas 470 lelaki dan wanita. Jadi, diharapkan kedua-dua pasangan itu berusaha keras untuk ke Tokyo 2020," katanya.

Kamaruzzaman ditemui dalam majlis insentif kemenangan kepada atlet pelayaran negara di Putrajaya, hari ini, menyaksikan Muhd Fauzi Kaman Shah yang meraih pingat emas dalam acara laser terbuka 4.7 memperoleh insentif kemenangan sebanyak RM10,000.

"Seperti yang diumumkan ketika penyerahan bendera di Putrajaya baru-baru ini, kami akan memberikan insentif dan hari ini kami tunaikan janji itu," tambahnya.

Sementara itu, Khairulnizam menyambut baik langkah Program Podium dikekalkan dalam menuju Olimpik Tokyo 2020, namun mengharapkan sedikit penambahbaikan.

Beliau menjelaskan beberapa kelemahan aspek pengurusan perlu diperbaiki jika mahu mendapatkan hasil lebih baik dalam program tersebut.

"Penambahan pertama, kami memerlukan ahli sains sukan sepenuh masa dan bukan hanya di Malaysia tetapi di luar negara apabila kami menyertai sebarang kejohanan. Kemudian, pengurus perlu memainkan lebih peranan dan tidak hanya mengharapkan atlet-atlet dan barisan jurulatih menguruskan segala perancangan.

"Setiap tugas harus diagihkan secara sama-rata dan tidak membebankan kepada atlet," ujar Khairulnizam.