Serdang Angels menamatkan kempen divisyen perdana Liga Ragbi Malaysia (MRL) di tangga ketiga dengan menidakkan UiTM Lions.

Padang becak susulan hujan lebat di padang Universiti Putra Malaysia (UPM) tidak merencatkan aksi yang berlangsung pada sebelah petang tadi.

Sebaliknya, ia ibarat memberi tuah buat Angels yang beraksi di laman sendiri untuk memaksa Lions berputih mata.

Dua try daripada Shobrey Amok dan Aqiel Zakaria serta conversion yang disempurnakan Zharif Affendy dalam tempoh 14 minit pertama perlawanan memberikan Angels kelebihan untuk mengawal hala tuju permainan.

Percubaan Lions merapatkan jurang menerusi try Iowane Teba sebelum tamat babak pertama hanya menyemarakkan lagi semangat Angles.

Secara keseluruhan, Angels merekodkan enam try dan tiga coversion sambil Lions menambah 12 mata dalam babak kedua.

Tamat perlawanan, Angels menang menerusi keputusan 36-17.

"Dengan dua try daripada pasukan menyukarkan peluang kami untuk mengejar permainan. Tetapi ia adalah satu pendedahan yang baik buat pasukan yang dibarisi pemain-pemain baru," kata kapten UiTM Lions, Shah Izzat Shah Rudin.

"Kami perlu bermain dengan agresif untuk memastikan lawan tidak mampu mencari mata bagi mengikat kedudukan. Turun beraksi tanpa pemain import seperti edisi terdahulu, ini merupakan kemenangan yang memuaskan kerana dalam peringkat kumpulan, kami tewas kepada Lions," kata kapten Angels, Zharif Affandi Zahib.