Keris Conlay mengukuhkan reputasi mereka dalam Liga Ragbi Malaysia (MRL) apabila menumbangkan Mersing Eagles dalam perlawanan akhir Divisyen Perdana di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, hari ini.

Keris Conlay turun untuk menambah satu lagi koleksi kejuaraan selepas menjuarainya dalam edisi 2013, 2015 dan 2017

Namun, lawan mereka, Mersing Eagles, tidak memberikan laluan mudah apabila mendahului tujuh mata di depan menerusi try Adoloisi Tanoa dan conversion Mohd Razmi Roslan pada minit kelima.

Di sebalik strategi ampuh lawan, Keris Conlay menyamakan kedudukan pada minit ke-22 melalui try Amirul Mukminin Mizan dan conversion Fairuz Abdul Rahman.

Perlawanan selepas itu dikuasai Keris Conlay yang menyudahkan satu try, satu conversion dan satu sepakan bebas bagi menutup babak pertama dengan keputusan 17-7.

Keris Conlay terus menjarakkan kedudukan kepada 20-7 dalam babak kedua hasil sumbangan Fairuz.

Mersing Eagles tidak berputus asa untuk merapatkan kedudukan kepada 12-20 hasil try dan conversion pada minit ke-71.

Menuju tiga minit terakhir perlawanan, permainan semakin sengit dengan Mersing Eagles menjadikan kedudukan 20-19, namun kebangkitan itu dimatikan dengan try penalti terakhir Keris Conlay untuk menang 27-19.

Lebih manis buat Keris Conlay apabila Fairuz turut dinobat sebagai pemain terbaik perlawanan.

"Alhamdulillah, ia merupakan piala ketiga saya dengan Keris Conlay sejak 2015," katanya.

"Alhamdulillah kami dapat mempertahankan kejuaraan, namun dalam lima minit terakhir perlawanan, pemain saya sudah mula ada yang cedera," tambah ketua jurulatih Keris Conlay, Farid Syazwan Abdul Razak.

"Bagaimanapun, kami berjaya mengawal situasi itu untuk menghasilkan satu lagi kemenangan yang memberikan kejuaraan buat kami."