MPM, Miyoshi jalin kerjasama

Oleh Staff Writer 15 Januari 2020 4
MPM, Miyoshi jalin kerjasama
Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) bakal menjalin kerjasama dengan delegasi dari bandar Miyoshi, Jepun dalam mempersiapkan atlet negara ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Ia merupakan persetujuan Presiden MPM, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin, dalam satu mesyuarat majlis yang diadakan bersama Datuk Bandar Miyoshi, Isao Hayasyi, hari ini.

Kontinjen para negara bakal berlepas ke lokasi sebenar awal seminggu dan berpeluang membiasakan diri dengan keadaan di Jepun sebelum temasya Paralimpik Tokyo 2020 membuka tirai. 

"Pihak MPM dan wakil dari Miyoshi akan bekerjasama daripada segi sukan dan budaya setelah menandatangni perjanjian untuk bertukar-tukar idea dan program dalam usaha ke Tokyo," kata Megat Shahriman.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan mesyuarat bersama Persekutuan Sukan Para Asean (APSF) dan chef-de-mission (CDM) negara sebelum ini menyaksikan mereka meraih kata putus untuk beberapa permohonan. 

Antaranya, APSF akan mengusulkan kepada Jawatankuasa Penganjur Sukan Para Asean Filipina (PHILAPGOC) tiada caj dikenakan untuk penambahan ahli pengurusan pasukan.

"Setiap kali ada lebihan, ia akan dikenakan bayaran dua kali ganda, jadi ia meningkatkan kos. Jadi, kami akan melawan isu itu. Diharapkan negara lain juga akan bersetuju dengan kami," tambahnya.



Editor: Nafis Abdullah

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen