NS Matrix Wanita muncul juara Kejohanan Liga Bola Keranjang Pro Malaysia (MPL) apabila meraih kemenangan kedua ke atas Hatchers Valkyries di Stadium MABA, sebentar tadi.

Aksi final kedua itu menyaksikan Hatchers mencari jalan untuk menyamakan kedudukan, sekali gus mengheret NS Matrix Wanita ke perlawanan final ketiga.

Hatchers mendominasi permainan dari awal dengan mendahului suku pertama 18-12.

Dominasi itu diteruskan dalam suku kedua apabila Hatchers tidak memberi ruang kepada NS Matrix mengurangkan defisit mata dan meneruskan kelebihan selepas mendahului 31-22.

NS Matrix ingin mencatat dua kemenangan berturut-turut, sekali gus dinobatkan juara dan mereka bangkit dalam suku ketiga -- kali ini berjaya mengurangkan jurang mata, namun Hatchers kekal mendahului saingan 39-22.

Kelebihan Hatchers akhirnya berjaya dipintas NS Matrix yang mencipta kebangkitan menakjubkan dan menang perlawanan 56-48.

Kemenangan NS Matrix sekali gus menyaksikan mereka muncul juara.

Bagi saingan lelaki, Farmco Touch Up (FTU) dikerah hingga hujung permainan untuk meraih kemenangan mutlak ke atas NS Matrix, sekali gus muncul juara.

Aksi di awal suku pertama menyaksikan kedua-dua pasukan tampil seimbang apabila masing-masing saling berkejaran mata. Namun, NS Matrix, yang dilihat lebih bersedia dengan asakan lawan, bijak menidakkan percubaan yang dilakukan FTU untuk mendahului 9-8.

Memasuki suku kedua, NS Matrix sekali lagi berjaya menyerap asakan hingga menggagalkan percubaan tonggak utama, Steve Anthony Toyloy.

Aksi cemerlang NS Matrix terus mendahului sebaik tamat separuh masa pertama 28-20.

Skrip berubah dalam suku ketiga apabila FTU bangkit memberikan tekanan, mengutip mata demi mata sehingga NS Matrix sekadar mendahului 43-42.

Aksi suku keempat cukup mendebarkan dengan corak serangan balas pantas dipamerkan NS Matrix dalam usaha mengheret aksi ke penentuan final ketiga Ahad ini.

Walaupun keputusan seakan-akan memihak NS Matrix sehingga penghujung aksi, kebangkitan yang dijelmakan FTU menidakkan pasukan dari Negeri Sembilan itu dengan kemenangan 57-56.