Pasukan KL Dragons menepati ramalan selaku pilihan dalam saingan Liga Bola Keranjang Pro Malaysia (MPL), apabila tewaskan kelab Filipina, Kings Pinas Asia, 120-78.

Turun beraksi di Stadium MABA yang juga gelanggang rasmi Dragons, tuan rumah bertekad meneruskan rentak cemerlang selepas tiga kemenangan dilakar sebelum ini.

Buat Kings, mereka masih memburu kemenangan sulung tetapi berdepan misi sukar kerana hanya mempunyai enam pemain yang dapat diturunkan.

Ternyata perbezaan ketara itu menjadi pemisah buat Dragons yang bermula garang sejak suku pertama bagi mendahului 30-18.

Diterajui aksi kemas pemain import, Daniel Eves, tuan rumah meningkatkan rentak permainan, sekaligus menerajui perlawanan 58-33 sehingga tamat suku kedua.

Kings pula semakin keletihan kerana tidak dapat membuat pertukaran pemain lebih kerap dan hasilnya Dragons menggunakan kelebihan tersebut untuk melakar kemenangan besar 120-78.

Pemain Dragons, Izran Edika Kamaruddin, berpuas hati apabila sasaran mereka untuk mengekalkan rekod kemenangan masih berterusan.

“Prestasi kami semakin meningkat hari demi hari. Menyedari pasukan lawan tidak membawa ramai pemain untuk perlawanan kali ini, kami menggunakan peluang itu untuk menurunkan ramai pemain dalam perlawanan ini,” kata Izran.

Kemenangan ini juga menyaksikan Dragons mengesahkan tempat dalam saingan play-off bagi perebutan slot ke final minggu depan.

Begitupun mereka masih berbaki satu perlawanan untuk diharungi esok dan Izran mahu rakan sepasukan memberikan fokus bagi memastikan kemenangan terus memihak mereka.