Terengganu melaungkan keyakinan untuk mengecewakan Kedah dalam aksi pembukaan Liga Perdana Futsal Malaysia (MPFL) di Stadium Sultan Abdul Halim, Sabtu ini.

Ketua jurulatihnya, Mohd Rozairi Ahmad, berkata keyakinan itu bersandarkan kepada keyakinan serta keserasian yang sedang meningkat serta dibantu dengan persiapan rapi pasukannya.

Kelibat pasangan kembar, Mohd Hafiz dan Mohd Hafizi Ismail, akan menjadi sandaran Terengganu selain pemain skuad B-20 negara, Syed Shahrul Niezam Syed Abdul Rahim.

Menurut Rozairi, Terengganu juga sudah menguji tiga pasukan MPFL, iaitu Kuala Lumpur City, Selangor dan Pahang, dalam aksi pemanas badan.

"Melihat kepada momentum pasukan, saya jangkakan kami tiada halangan untuk bermula langkah kanan dan menewaskan Kedah," ujarnya.

Walaupun sudah membayangkan barisan terkuat, Rozairi menyifatkan kesemua 20 pemain perlu bersedia untuk diturunkan kerana masing-masing memiliki keistimewaan sendiri.

"Saya lebih suka membuat penggiliran pemain kerana terdapat banyak perlawanan hingga penghujung September depan.

"Semua pemain akan diberi peluang beraksi dalam edisi sulung MPFL ini," tambahnya.