Tiga pasukan terbaik menjadi sasaran skuad futsal Terengganu FC (TFC) dalam edisi sulung Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) yang bermula 22 Jun ini.

Menurut ketua jurulatihnya, Mohd Rozairi Ahmad, sasaran itu dianggap cabaran yang sedia dipikul pasukannya yang dibarisi majoriti pemain Sukan Malaysia (Sukma) 2018.

Menamakan Pahang, Perak dan Selangor sebagai pencabar terkuat, Rozairi berkata persiapan Terengganu sudah hampir lengkap sejak memulakan latihan tiga bulan lalu.

"Secara peribadi, saya meletakkan sasaran lima terbaik tapi melihat kepada komitmen pasukan, tidak mustahil kami mampu mencapai sasaran PBSNT (Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu).

"Walaupun dibarisi pemain muda, kami sudah hampir empat tahun bersama sejak 2016 dan keserasian itu akan menjadi senjata pasukan," jelasnya.

Seramai 21 pemain memperkuatkan Terengganu dengan lebih 80 peratus merupakan pemenang pingat perak Sukma tahun lalu.

Rozairi turut menyambut baik penganjuran sulung liga profesional demi meningkatkan kualiti serta kemeriahan futsal setanding Liga Malaysia (Liga M).

Dia juga menjelaskan jumlah penyertaan wajar ditambah kepada 12 atau 14 pasukan selain melanjutkan tempoh perjalanan liga bagi edisi akan datang.

"Ini merupakan langkah pembaharuan yang baik dengan format liga timbal balik.

"Saingan sengit pasti diberikan beberapa pasukan yang dibarisi pemain kebangsaan tetapi Terengganu juga ada kekuatan tersendiri," tambah Rozairi.