Pengurus skuad futsal Selangor, Mimi Afzan Afza Abdul Karim, enggan menjadikan kelewatan penganjuran Liga Perdana Futsal Malaysia (MPFL) sebagai masalah buat pasukannya sambil menganggap ia sebagai cabaran buat pemain untuk menghadirkan saingan.

MPFL yang julung-julung kalinya dianjurkan sepatutnya sudah bermula sejak bulan lalu.

Namun, ia terpaksa ditangguhkan hingga bulan depan kerana perlu memenuhi keperluan pihak penaja dan menghormati bulan Ramadan.

Ketika masalah penundaan itu seakan-akan menjejaskan persiapan beberapa pasukan yang bertanding, skuad futsal Selangor, bagaimanapun, memandang positif perkara itu.

"Kalau misalnya ia dijalankan awal sebelum bulan puasa, ia tidak begitu praktikal sebab kita akan terburu-buru dan ia tidak akan menjadi sempurna.

"Bagi saya, agak baik juga ia ditunda selepas hari raya," katanya.

Selepas dua tahun menyepi, kehadiran semula skuad futsal Selangor dalam kejohanan utama tahun ini sememangnya akan mencuri tumpuan.

Dengan berwajah baru di bawah pengurusan Mac FC, pasukan itu dicanang sebagai antara pasukan pilihan selepas diperkuatkan dengan beberapa pemain kebangsaan termasuk penjaga gol, Azrul Hadi Taufiq.

"Walaupun Hadi hadir lewat, dia banyak membantu untuk memberikan impak dalam pasukan.

"Ia amat bagus untuk kami bertanding dalam liga tahun ini," kata jurulatih futsal Selangor, Addy Shairullyzam Shafiee.