MOM tunggu pemegang jawatan Menteri Belia dan Sukan baru

Oleh Staff Writer 14 Mei 2018 412
MOM tunggu pemegang jawatan Menteri Belia dan Sukan baru
Masa depan sukan Malaysia untuk menuju pemburuan pingat emas sulung Sukan Olimpik di Tokyo 2020 bergantung kepada pertemuan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dengan individu yang bakal dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan yang baru.

Dasar Kementerian Belia dan Sukan yang diterajui Khairy Jamaluddin sebelum ini telah membawa kepada peningkatan prestasi sukan Malaysia dan dalam masa sama, tidak kurang juga usaha serta program berprestasi tinggi seperti Program Podium diwujudkan bagi membantu aspirasi emas Olimpik sulung Malaysia.

Kebimbangan kini lahir susulan pembentukan semula Kementerian Belia dan Sukan tidak berada dalam perancangan awal kerajaan di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

"Kami menanti peluang untuk berbubung dengan Menteri Belia dan Sukan yang baru.

"Kami akan terus berhubung untuk kami menentukan bukan sahaja untuk kami memperjelaskan hala tuju Sukan Asia tetapi apa yang lebih penting, kami mahu rakyat Malaysia tahu bahawa kami berusaha keras untuk mendapatkan pingat emas dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020," kata Presiden MOM, Datuk Seri Norza Zakaria.

Bagaimanapun, MOM memberi jaminan bahawa persiapan menuju Sukan Asia Indonesia 2018 tidak akan terjejas dan ia termasuk mewujudkan jawatankuasa kerja dalam memastikan kontinjen Malaysia tidak gagal mencapai sasaran seperti kempen dalam Sukan Komanwel Gold Coast, bulan lalu.

"Setakat ini, tidak terganggu kerana kami akan terus tubuhkan pasukan petugas. MOM adalah badan bebas, terutama dalam persediaan untuk temasya sukan. Kami akan berhubung dengan kerajaan bagi memastikan semua keperluan dipenuhi," katanya lagi.

Sementara itu, kepimpinan baru MOM yang diterajui Norza akur dengan kepentingan elemen ketelusan dalam badan media sukan negara.

Perkara itu dipersetujui dalam perbincangan badan induk itu bersama Presiden Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM), Ahmad Khawari Isa, hari ini.

Dalam masa sama, SAM turut menawarkan input yang bakal diharungi sukan Malaysia dalam waktu pembentukan semula kerajaan negara.

"SAM telah mendesak MOM supaya lebih menghargai dan memperakui peranan petugas-petugas media sukan di Malaysia terutama daripada segi menyampaikan informasi berkaitan sukan kepada umum. Ini kerana kami tidak mahu ada budaya di mana MOM atau pegawai-pegawainya memberi tekanan kepada petugas media untuk mengikut agenda tertentu. 

"SAM percaya media sukan di Malaysia adalah media yang bebas dan kami mahu mempertahankan kebebasan itu demi kepentingan dan keutamaan sukan negara. 

"Saya percaya, pada ketika ini, isyarat awal yang diberikan memang sesuatu yang baik dan kita akan lihat perjalanan yang berlaku. Pada masa yang sama, SAM melihat bahawa MOM masih relevan dalam memastikan peranan untuk melindungi sukan Malaysia itu dapat terus dipertahankan," kata Khawari.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen