Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Norza Zakaria, menasihati setiap persatuan sukan kebangsaan yang bercadang melakukan perjalanan ke negara China yang kini dilanda wabak coronavirus supaya dibatalkan.

Penyebaran wabak berbahaya yang melanda negara tersebut menyaksikan beberapa pasukan seperti pasukan Liga Super, Selangor, terpaksa membatalkan niat daripada menyertai kejohanan pra-musim di sana.

Selain itu, Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) memutuskan untuk tidak membabitkan skuad tinju negara dalam menyertai kejohanan tinju yang melibatkan kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 di Wuhan.

"Apa sahaja dasar yang hendak dibuat mestilah berpandukan polisi kerajaan.

"Ia harus dikeluarkan oleh Kabinet atau Kementerian Kesihatan.

"Bagaimanapun, saya menasihati persatuan sukan agar tidak perlu membuat perancangan yang melibatkan atlet ke China sehingga kita melihat kesan coronavirus ini kepada China dan rantau ini," katanya dalam majlis perkahwinan anak Datuk Misbun Sidek, Misbun Ramdan, di Semarak hari ini.

Dalam pada itu, Norza menyerahkan kepada Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) untuk menentukan sama ada empat penerjun negara, Wendy Ng, Leong Mun Yee, Pandelela Rinong dan Kimberly Bong, yang sedang giat menjalani latihan di China agar pulang segera atau sebaliknya.



Editor: Shaiful Shamsudin