Majlis Olimpik Malaysia (MOM) memilih jalan selamat dengan menubuhkan jawatankuasa bebas penilai dengan alasan memperkasakan sesi pemilihan atlet sebelum ke sukan besar yang akan berkuatkuasa sebelum Sukan SEA Manila, tahun depan.

Selepas pelbagai kritikan diterima MOM, merujuk kepada atlet yang terpilih ke Sukan Asia, baru- baru ini, mesyuarat lembaga yang berlangsung hari ini sebulat suara melantik badan bebas yang akan dipengerusikan oleh Tan Sri Dr M. Jegathesan.

Jawatankuasa itu bertindak sebagai penilai prestasi atlet sebelum terpilih ke sukan besar bersama barisan panel bebas seperti bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Wira Mazlan Ahmad, dan bekas Ketua Pengarah, Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Dr Ramlan Aziz.

Presiden MOM, Datuk Seri Norza Zakaria, menolak dakwaan keputusan itu dibuat bagi mengelakkan MOM terus terbeban, malah menganggap ia adalah proses lebih telus dan tetap akan melewati proses persetujuan daripada MOM terlebih dahulu.

"Proses-proses yang kami lakukan sering mengundang kritikan. Namun, ia akan tampak tidak adil jika kami melakukan perubahan tersebut.

"Kami mahu input daripada mereka yang datang dari dalam industri untuk menambahbaik proses itu," kata Norza.

Kritikan melibatkan pemilihan atlet negara tampak lebih serius selepas beberapa isu diketengahkan berdasarkan kategori A dan B buat atlet selain syarat yang dikenakan, termasuk prestasi memalukan wakil Malaysia di pentas Sukan Asia yang melibatkan beberapa acara sukan dalam Sukan Asia, baru-baru ini.

"Seperti apa yang dilihat di Jakarta dan Palembang, apabila diadakan kategori A dan B, banyak persoalan telah timbul.

"Sebagai contoh, jika empat terbaik menjadi kriteria untuk kategori A, apa pula buat kategori B? Kami melihat sebelum ini bahawa jika mereka membayar dan layak tetapi perkataan layak itu juga sesuatu yang subjektif."