MOM belum panik sasaran Olimpik Tokyo

Oleh Staff Writer 20 Januari 2020 158
MOM belum panik sasaran Olimpik Tokyo
Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Norza Zakaria, tidak panik apabila hanya Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berani menyasarkan pingat emas dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020 untuk menamatkan penantian 64 tahun negara.

Tidak semua persatuan berani menyahut cabaran untuk menghadiahkan emas sulung Malaysia di pentas Olimpik berkenaan.

Hanya BAM yakin melangkah ke depan walaupun realitinya tiada pemain negara menghuni ranking pertama dunia atau menang kejohanan utama secara konsisten.

Situasi itu membimbangkan tetapi MOM kekal tenang kerana masih ada masa untuk membuat persiapan rapi.

"Kami masih menganggap ada antara pasukan yang mempunyai atlet mampu untuk sampai ke peringkat meraih pingat, bahkan emas.

"Namun, mereka memerlukan sedikit lagi masa dalam persediaan untuk menilai keupayaan atlet. Sebagai contoh, sukan terjun, masih ada atlet yang belum melayakkan diri. Ini adalah perkara yang dibincangkan tetapi saya percaya kami akan lihat dengan lebih terperinci," kata Norza.

"Saya rasa peluang untuk dua wakil beregu campuran masih ada. Mungkin Chan Peng Soon-Goh Liu Ying sudah agak pasti dan kami ingin melihat Goh Soon Huat-Shevon Lai turut melayakkan diri.

"Dalam beregu lelaki, berdasarkan senario sekarang, kami berpeluang melihat satu pasangan dan ia melibatkan persaingan Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan Aaron Chia-Soh Wooi Yik," tambah Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann.

Saingan Olimpik Rio 2016 menyaksikan Malaysia meraih empat perak dan satu gangsa.

Tiga perak disumbangkan badminton sambil satu lagi daripada terjun tatkala berbasikal trek membawa pulang gangsa.

Mesyuarat penyelarasan Sukan Olimpik Tokyo 2020 dihadiri wakil 10 jenis sukan yang sudah atau dijangka layak ke Tokyo.

Sementara itu, Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) menyasarkan perak daripada Azizulhasni Awang dalam acara keirin bagi mengelakkan tekanan kepada jaguh trek itu.

Namun, pelumba dari Terengganu yang bakal membuat penampilan keempat Olimpik itu pernah mengumumkan hanya emas di Tokyo dapat memuaskan hatinya.

Dalam masa sama, Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) pula mengakui sukar untuk memecahkan dominasi China dalam acara terjun.

"Kami tidak mahu beri tekanan. Sebenarnya, sasaran memang lebih tinggi berbanding Rio 2016 tetapi jika kami letakkan ketetapan, tekanan akan datang daripada atlet itu sendiri.

"Lebih baik kami sasarkan lebih rendah agar dia lebih kuat bekerja dan dapat keputusan lebih baik berbanding sebelum ini," kata Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Abd Wahab.

"Kami akan cuba, tiada apa yang mustahil. Kami tidak mahu letakkan tekanan tinggi kepada penerjun. Kami cuba kekalkan pingat tidak kira emas, perak atau gangsa. Ia mungkin sudah bagus," ujar Setiausaha Kehormat ASUM, Mae Chen.




Editor: Nafis Abdullah

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen