Majlis Olimpik Malaysia (MOM) akan merayu kepada Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) untuk memasukkan beberapa jenis sukan yang ditolak oleh Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Filipina (PHISGOC) daripada senarai edisi sebelumnya yang dianjurkan Malaysia.

Setiausaha Agung MOM, Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib, berkata badan penaung itu akan berbincang dengan persatuan sukan kebangsaan (NSA) dan Majlis Sukan Negara (MSN) bagi menentukan jumlah dan acara sukan untuk dirayu.

“Senarai pertama cuma senarai awal daripada tuan rumah. Mereka dijangka memasukkan lagi (acara). Kami akan bekerjasama dengan NSA-NSA dan MSN untuk merayu kebanyakan sukan yang kita cemerlang dalam Sukan SEA (Kuala Lumpur untuk dimasukkan).

"Kami akan memaklumkan NSA-NSA untuk menghantar rayuan mereka kepada kami. Sukan-sukan yang tidak popular di Filipina akan menjadi cabaran (untuk disenaraikan) tetapi sukan yang popular seperti tenis, luncur ais dan seni bela diri mempunyai peluang cerah untuk disenaraikan," katanya ketika dihubungi Bernama,

Semalam, selepas mesyuarat dua hari Persekutuan Sukan Asia Tenggara (SEAGF), PHISGOC mengeluarkan senarai awal 30 sukan untuk Sukan SEA Ke-30 yang dijadualkan berlangsung dari 30 November hingga 10 Disember 2019 di tiga bandar kluster -- Clark, Subic dan Metro Manila.

Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan (NOC) diberikan masa sehingga 13 Jun ini untuk menghantar rayuan dan cadangan sukan tambahan bagi dimasukkan dalam Sukan SEA 2019.

Antara sukan yang digugurkan adalah hoki, ping pong, ragbi, petanque, boling padang, bola jaring, kriket, ski air dan juga acara berbasikal trek.

MOM menerusi satu kenyataan berkata tuan rumah juga menggugurkan badminton tetapi memasukkannya semula selepas mendapat bantahan keras daripada lima NSA dari Malaysia, Indonesia, Myanmar, Singapura dan Thailand.

Tuan rumah juga telah menambah sukan baru yang tidak dipertandingkan dalam Sukan SEA Kuala Lumpur seperti besbol, judo/jijitsu, gusti/kurash, arnis (seni bela diri dari Filipina) dan sukan tarian.

Arnis diperkenalkan buat kali pertama dalam Sukan SEA Manila 1991 sebagai satu sukan demonstrasi dan kemudian dipertandingkan dalam edisi Manila 2005, yang mana tuan rumah dan Vietnam masing-masing menggondol tiga pingat emas daripada enam emas yang dipertandingkan.

Sukan tarian yang juga akan julung kali dipertandingkan dalam Sukan SEA Manila 2005, menyaksikan tuan rumah menyapu bersih kedua-dua emas yang dipertandingkan.

Mohd Nazifuddin berkata delegasi Malaysia yang diketuai Presiden MOM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, telah menyerahkan laporan Sukan SEA 2017 kepada mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif SEAGF dan Majlis SEAGF, antaranya termasuk lima kes doping yang dikenal pasti semasa temasya sukan itu yang berlangsung dari 19 hingga 30 Ogos tahun lalu.

Untuk rekod, Malaysia selaku tuan rumah muncul sebagai juara keseluruhan Sukan SEA 2017 dengan merangkul 145 pingat emas.

30 sukan dalam senarai :

Olahraga; Akuatik; Memanah; Badminton; Besbol/Sofbol; Bola Keranjang; Biliard dan Snuker; Boling Tenpin, Tinju: Berbasikal; Ekuestrian/Polo; Lawan Pedang; Bola Sepak; Golf: Gimnastik; Judo/Jijitsu; Karate; Pelayaran; Sepak Takraw; Menembak: Skuasy; Taekwondo; Triatlon; Bola Tampar; Angkat Berat; Gusti/ Kurash, Wushu, Arnis, Sukan Tarian dan Muay Thai.

-- BERNAMA