Tiada istilah berehat bagi atlet kickboxing negara, Mohammed Mahmoud, selepas pulang daripada Sukan SEA Filipina apabila perlu mengerah kudrat untuk saingan One Championship di Bangkok, bulan depan.

Mohammed yang lebih dikenali menerusi nama timangan Jordan Boy mengakui kecewa menamatkan saingan di Filipina dengan perak setelah tewas kepada wakil tuan rumah, Jean Claude Saclag, 3-0.

Meskipun baru pulang ke tanah air, dia akan tetap menjalani latihan bagi kejohanan One Championship yang bakal memberi saingan besar buatnya setelah diundi menentang idolanya sendiri, Liam Harrison dari Great Britain.

"Sebenarnya saya tidak mahu kejohanan, hanya mahu rehat tetapi mereka cadangkan untuk beraksi. Saya terima, jadi mungkin minggu depan saya akan ke Bangkok untuk kem latihan sebelum memulakan kejohanan di sana," katanya.

Bagaimanapun, dia tetap bersyukur dengan pungutan pingat dalam penampilan pertamanya di pentas Sukan SEA dan bercadang untuk sekali lagi mencabar emas dalam temasya berkenaan.

"Alhamdulillah, prestasi agak baik, cuma saya tidak biasa dengan sistem pemarkahan. Kemudian saya bertemu wakil tuan rumah, biasalah ada sedikit politik tetapi selepas saya melihat semula, memang banyak mata kepada dia. Lawan lebih tahu tentang teknik, jadi itu kelebihan dia."