Mo Farah menyorot kembali perjalanannya yang menakjubkan sambil menyatakan dia telah meninggalkan segala-galanya di atas trek selepas perlumbaan terakhirnya dalam Kejohanan Dunia IAAF semalam, berakhir dengan sekadar pingat perak dalam acara 5,000 meter.

Farah mengharapkan untuk menambah emas 5,000m kepada kejuaraan 10,000m yang dimenanginya di London hujung minggu lalu dan melengkapkan kemenangan berganda dalam kejohanan utama buat kali kelima berturut-turut.

Bagaimanapun, pelari British itu, yang mahu beralih ke acara jalan raya, terpaksa berpuas hati dengan pingat perak setelah tewas kepada pelari Habsyah, Muktar Edris, yang lebih kuat dalam pusingan terakhir.

“Ia sangat istimewa… ia satu perjalanan yang panjang tapi sangat menakjubkan,” Farah memberitahu BBC Sport.

Ditanya sama ada acara 10,000m itu menjejaskan peluangnya memenangi saingan 5,000m, atlet berusia 34 tahun itu berkata: “Secara jujur, ia banyak mengambil tenaga saya. Ia bukan satu alasan tapi ia mengambil lebih banyak kudrat saya daripada yang saya jangkakan.

“Secara taktikal, saya cuba untuk menutup setiap pergerakan dan mereka (Edris dan rakan sepasukan Habsyah, Yomif Kejelcha) mempunyai perancangan mereka. Salah seorang akan mengorbankan dirinya dan itulah yang mereka lakukan.

“Atlet yang lebih baik menang hari ini tapi saya telah memberikan segala-galanya. Saya tidak mempunyai sebarang kudrat lagi kesudahannya.”

Edris meniru sambutan 'Mo-bot' selepas kemenangannya tapi menegaskan ia dizahirkan daripada rasa hormat terhadap juara bertahan itu.

“Saya benar-benar telah bersedia untuk perlumbaan ini dan saya tahu saya akan mengalahkan Mo Farah," kata Edris. "Selepas acara 10,000m, dia barangkali terlalu penat dan tidak cukup tenaga untuk melakukan penyudahan yang kuat. Saya yang lebih kuat hari ini.

“Mo telah meraih banyak kemenangan tapi saya kini punya satu.

“Saya meraih emas di hadapan penyokongnya. Saya tidak mendapat banyak sokongan tapi menang juga. Saya melakukan sambutan ‘Mo-bot’ sebagai menzahirkan rasa hormat terhadapnya,” kata Edris lagi.