Persekutuan Luncur Ais Malaysia (MISF) sedia berdepan cabaran mencari dana bagi membantu atlet negara menghadapi beberapa kejohanan penting tahun ini, termasuk Sukan SEA Filipina, November depan.

MISF yang ditubuhkan 27 Disember lalu merupakan badan induk baru bagi sukan luncur ais di negara ini susulan pembatalan Persatuan Luncur Ais Malaysia (ISAM), 18 Mei tahun lalu.

Dalam masa sama, akaun ISAM turut dibekukan dan MISF terpaksa bermula dengan peruntukan terhad.

Presiden MISF, Datin Laila Parimalar Abdullah, yakin badan itu mampu meraih dana yang cukup, khususnya dengan geran tahunan daripada Kesatuan Luncur Ais Dunia (ISU).

MISF yang kini diterajui jawatankuasa sementara akan mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM) April depan.

"Cabaran yang pertama adalah berkenaan kedudukan kewangan kerana kami bermula dengan kosong. Tiada sebarang wang. ISU memang akan memberikan geran kepada semua ahli gabungannya setiap tahun," katanya.

Sementara itu, Laila turut menjelaskan kemungkinan program latihan atlet negara perlu dikaji semula berdasarkan kepada kemampuan badan induk berkenaan.

Sebelum ini, beberapa atlet dihantar ke luar negara untuk program latihan, namun ia memerlukan kos yang tinggi.

Kini, Laila bercadang untuk membawa jurulatih luar bagi membimbing atlet kebangsaan,, khususnya barisan pelapis, dengan menggunakan kemudahan sedia ada seperti di Empire City, Damansara dan IOI City.

"Kalau dulu, mereka dihantar ke Korea Selatan tetapi ia memerlukan kos yang amat tinggi. Jadi, daripada dihantar ke sana, jurulatih boleh dibawa ke Malaysia dan berjimat daripada segi keperluan."