"Lahirkan atlet pecut dengan catatan bawah 10 saat? Tidak mustahil."

Itu keyakinan yang disuarakan pengarah teknikal skuad olahraga negara, Dwayne Miller, terhadap bakat pelari pecut kebangsaan yang sedang mempersiapkan diri menjelang Sukan SEA, Filipina bulan depan.

Miller menandatangani kontrak sebagai pengarah teknikal olahraga negara, sekali gus satu peranan berbeza dengan perancangan awal Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) melantiknya sebagai jurulatih acara pecut untuk membantu barisan jurulatih tempatan seperti Mohd Poad Mohd Kassim dan M. Balamurugan.

Setakat ini, dia sudah menemui beberapa atlet olahraga dan terpegun dengan bakat yang ada di Malaysia.

Dia juga yakin atlet olahraga negara mampu mencatat pecutan sekurang-kurangnya 10 saat atau kurang pada masa akan datang.

"Saya lihat ada sesetengah atlet yang membuatkan saya terkejut. Sebelum ini, saya tidak pernah datang ke Malaysia dan jelas sekali atlet berpotensi ada di sini. Saya tidak meraguinya," katanya.

Sementara itu, Presiden KOM, Datuk S.M Muthu, yakin kehadiran jurulatih olahraga kelahiran Amerika Syarikat itu mampu meningkatkan prestasi skuad negara sambil langkah itu turut menerima sokongan beberapa atlet olahraga yang lain.

"Miller memiliki pengalaman yang bagus. Diharapkan kehadirannya mampu memenuhi keperluan yang dicari dalam latihan kem kebangsaan," katanya.

"Kehadiran pengarah teknikal mungkin boleh memberi perancangan baru buat atlet. Mungkin aturkan kem latihan di luar negara," tambah atlet lompat tinggi kebangsaan, Lee Hup Wei.

"Dia memang memiliki banyak ilmu, jadi dia boleh tingkatkan kelajuan saya. Diharapkan pengalamannya dapat meningkatkan prestasi saya," ujar atlet lompat kijang kebangsaan, Muhammad Hakimi Ismail.

"Hasil bantuannya, Malaysia akan bangkit dalam tempoh tiga tahun. Tidak perlu risau lagi dalam Sukan SEA kerana kami telah lantik individu terbaik dunia. Dia tidak akan ganggu program tetapi akan membantu jurulatih dan atlet memperbaiki kelemahan," tambah ketua jurulatih olahraga para negara, R. Jeganathan.