Mike ubah sistem latihan buru gelaran kelima

Oleh Staff Writer 17 September 2019 28
Mike ubah sistem latihan buru gelaran kelima
Jaguh bina badan negara, Syarul Azman Mahen Abdullah, menukar program latihannya bagi menghadapi Kejohanan Bina Badan dan Sukan Fizik Asia di Batam, Indonesia, apabila mengetahui negara-negara Timur Tengah menghantar muka baru.

Syarul Azman atau lebih dikenali sebagai Mike Mahen tidak mendabik dada walaupun turun sebagai juara bertahan Mr Asia untuk tahun keempat berturut-turut hujung bulan ini. 

Bagaimanapun, jaguh berusia 46 tahun itu harus mengubah program latihannya demi menyaingi wakil dari Timur Tengah itu.

"Saya ada menukar sedikit corak latihan selain  pemakanan disebabkan faktor umur. 

"Pemakanan penting untuk saya meningkatkan fizikal," katanya ketika ditemui di Kompleks Pertama, semalam.

Tambahnya, program latihan baru itu memberikan keyakinan untuk dia memburu gelaran kelima Mr Asia sejak 2015. 

"Saya boleh baca dan agak cabaran daripada peserta Asia Tenggara tetapi kalau wakil Timur Tengah, setiap tahun mereka menukar atlet," katanya lagi. 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen