Satu keputusan membabitkan penggantian jurulatih bakal diputuskan apabila Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) mengadakan mesyuarat agung yang turut melibatkan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Sebagai persediaan untuk berhadapan dengan dua temasya penting, iaitu Sukan Komanwel dan Sukan Asia pada tahun depan, satu kata putus terhadap barisan jurulatih diperlukan untuk memastikan skuad terjun negara memiliki skuad kejurulatihan yang sempurna.

Mesyuarat agung yang akan berlangsung Sabtu ini terarah kepada kata putus untuk penggantian jurulatih kebangsaan, Huang Giang, yang kini dalam siasatan polis berhubung dakwaan kes rogol seorang atlet negara.

“Perkara itu akan saya bincang dengan pihak Majlis Sukan Negara (MSN) serta Menteri Belia dan Sukan untuk perkembangan selanjutnya dan mungkin sebarang maklumat saya boleh beritahu selepas mesyuarat agung ASUM, Sabtu ini,” kata Presiden ASUM, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Isu itu jelas mencalarkan imej bersih sukan akuatik yang sudah memiliki beberapa nama yang telah gah di peringkat dunia menerusi pencapaian terbaik mereka.

Tegas Shahidan, isu itu akan ditangani segera oleh pihak ASUM, terutama keselamatan ketika sesi latihan kini dalam pemantauan bagi mengelakkan perkara sama berulang.

“Kami memberikan perhatian terhadap sebarang bentuk aduan daripada mana-mana pihak dan meningkatkan tahap keselamatan di tempat-tempat latihan,” katanya.