Persatuan Sukan Ekstrem Malaysia (MESA) menepis dakwaan pihak yang mengatakan mereka tergesa-gesa mengadakan Kejohanan Papan Selaju bagi pemilihan atlet ke Sukan Asia Jakarta 2018, sebaliknya serius mahu menghantar atlet berkelayakan sahaja untuk mengibarkan cabaran negara.

Sebaik sahaja Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengumumkan Malaysia akan menghantar atlet menerusi acara papan selaju ke Sukan Asia Jakarta-Palembang, Ogos depan, MESA segera menganjurkan kejohanan bagi mencari atlet berkelayakan mengisi kuota yang tersedia.

Pemilihan yang dijalankan di gelanggang papan selaju Bukit Kiara semalam, mencari lapan atlet, yang terdiri daripada empat lelaki dan empat wanita, untuk bersaing dalam dua acara, iaitu park dan street.

Namun, pemilihan itu didakwa diboikot gara-gara dijalankan begitu singkat dalam tempoh sehari sahaja selain tidak dilangsungkan dari negeri ke negeri.

Setiausaha Agung MESA, Datuk Manjit Singh Gill, menegaskan mereka sudah menguar-uarkan mengenai tarikh pemilihan itu sebulan lebih awal pada 23 Januari lalu dan mengharapkan agar tiada pihak yang membuat tuduhan melulu.

Bagaimanapun, sesi pemilihan semalam tetap berlangsung dengan lancar dan berjaya menghimpunkan 50 peserta secara keseluruhan.

"Kami perlu memberikan senarai nama untuk saingan Sukan Asia yang bakal dijalankan pada Ogos ini tetapi pada Jun nanti, kami akan mengadakan pertandingan dalam lima zon yang berbeza," kata Manjit.