Penembak negara, Ezuan Nasir Khan, berharap dapat berlatih di Jerman sebagai persiapan terakhir menjelang dua tugasan penting November depan, iaitu Kejohanan Menembak Asia di Doha dan Sukan SEA Filipina.

Minggu lalu, jaguh acara rifle negara itu menamatkan saingan dalam Kejohanan Trofi Tun Hanif di tempat ketiga dalam acara 10 meter air rifle individu dan meraih tempat keempat acara 50 meter rifle prone.

Penembak kelahiran Kuala Lumpur itu mendapat suntikan semangat baru apabila menerima sumbangan berjumlah RM20,000 bagi memenuhi perbelanjaan alatan menjelang Kejohanan Asia yang turut menawarkan slot kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Dia kini sedang berusaha mengumpulkan dana untuk ke Jerman bagi mempersiapkan diri daripada aspek mental dan fizikal.

"Saya cuba dapatkan apa yang saya boleh dapatkan untuk meningkatkan prestasi saya.

"Alhamdulillah, Koperasi Tanjung Keramat bersetuju untuk menaja jaket baru yang amat saya perlukan," katanya selepas majlis penyerahan cek di Cyberjaya, hari ini.

Dalam pada itu, atlet kendalian Zulkifli Mohamed itu optimis skuad negara akan beraksi baik dalam Sukan SEA meskipun mengalami kekangan latihan dan kejohanan sepanjang tahun ini.

"Pencapaian saya dalam (Kejohanan) Tun Hanif tidak bagus sangat dan tidak teruk sangat.

"Kiranya prestasi saya masih dapat dikekalkan.

"Keputusan saya dalam air rifle ada peningkatan.

"Saya jadikan ia sebagai latihan dan persediaan sebelum beraksi dalam Kejohanan Asia dan Sukan SEA," tambahnya.