Memanah Piala Asia: Malaysia pungut empat emas di Filipina

Oleh Bernama 15 September 2019 110
Memanah Piala Asia: Malaysia pungut empat emas di Filipina
Skuad memanah negara mengubati kekecewaan dengan meraih  empat pingat emas menerusi acara compound dalam pusingan ketiga Kejohanan Memanah Piala Asia di Clark City, Filipina, semalam. 

Kelmarin, barisan pemanah recurve Malaysia gagal memperoleh sebarang pingat emas.

Dalam aksi semalam, trio pemanah wanita negara terdiri daripada Fatin Nurfatehah Mat Salleh, Nurul Syazhera Mohd Asmi dan Iman Aisyah Norazam menyumbang pingat emas pertama Malaysia dengan menewaskan trio Taiwan Hsu Yen-Hua, Wang Lu-Yun dan Weng Yi-Ting, 221-218 dalam acara berpasukan wanita, menurut laman sesawang rasmi Persekutuan Memanah Dunia, www.worldarchery.org.

Fatin Nurfatehah yang bergandingan dengan Mohd Juwaidi Mazuki, meraih emas kedua negara setelah mengalahkan pemanah adik-beradik dari Filipina, Rachelle Anne dan Paul Marton De La Cruz, 157-151 dalam final acara berpasukan campuran.

Iman Aisyah Norazam memperoleh emas ketiga negara selepas menundukkan pemanah tuan rumah, Andrea Robles, 140-134 dalam acara individu wanita , sementara Nurul Syazhera  membawa pulang gangsa dengan kemenangan 138-133 ke atas Rachelle Anne.

Mohd Juwaidi memperoleh pingat emas keduanya selepas menang tipis 145-141 ke atas Paul Marton dalam acara individu lelaki. Rakan sepasukan Mohd Juwaidi, Syahrizan Jafar, memperoleh gangsa selepas menumpaskan pemanah Thailand, Sirapop Chainak, 142-137. 

Seramai 115 pemanah dari 12 negara mengambil bahagian dalam kejohanan yang bermula sejak Ahad lalu itu.

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen