Kejayaan pemanah negara, Khairul Anuar Mohamad, meraih pingat perak dalam Kejohanan Memanah Dunia 2019 di Belanda, malam tadi, membakar semangat juang skuad pelapis untuk mencapai sesuatu yang dianggap mustahil.

Pemanah pelapis recurve negara, Mohd Fitri Mohd Yusuf, tumpang gembira dengan kejayaan itu dan secara tidak langsung menjadi penanda aras buat skuad berkenaan.

"Bagi pemanah muda seperti saya, pencapaian Khairul amat membanggakan.

"Ia sesuatu yang di luar jangkaan, seterusnya memberi semangat kepada saya untuk memanah dengan lebih baik lagi," kata Fitri.

Menjelang Siri Piala Dunia Ketiga di Jerman dan Kejohanan Ujian Sukan Olimpik di Tokyo, Ogos depan, Fitri tidak mahu ketinggalan untuk memberikan saingan merebut tempat.

"Ramai pemanah elit handalan dalam skuad negara.

"Tetapi pemanah pelapis seperti saya akan cuba berikan saingan hebat kepada mereka," katanya.

Khairul Anuar muncul naib juara dunia acara recurve selepas dinafikan pemain nombor tiga dunia dari Amerika Syarikat, Brady Elliso, dalam aksi pusingan penentuan.