Presiden Persatuan Kanu Malaysia (MASCA), Datuk Seri Megat Shahriman Zaharudin, bersedia melakukan transformasi bagi menjaga kebajikan atlet jika dilantik sebagai pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB).

Megat Shahriman merupakan salah seorang daripada lima nama yang dicalonkan untuk jawatan pengerusi YAKEB dengan keputusan akan dibuat dalam masa terdekat.

Selaku tokoh perniagaan dan korporat, Megat Shahriman yakin bahawa YAKEB tidak akan berhadapan masalah kewangan jika beliau mengambil alih jawatan itu.

Kerusi pengerusi YAKEB kosong sejak Oktober lalu selepas bekas pemain skuasy kebangsaan, Azlan Iskandar, meletakkan jawatan.

"YAKEB akan menubuhkan satu farmasi bagi memudahkan atlet mendapatkan ubat-ubatan dan tidak perlu beratur mendapatkannya di hospital," katanya.

Megat Shahriman berharap calon yang terpilih memiliki kriteria yang bersesuaian supaya kebajikan atlet dijaga rapi pada masa akan datang.

"Sebelum menjadi pengerusi, anda perlu cermin diri sendiri. Jika anda tidak berjaya, bagaimana untuk menerajui persatuan. Komitmen ini bukan untuk diri sendiri tetapi untuk kebajikan atlet," ujarnya.