Megat Shahriman nafi salah guna kuasa

Oleh Staff Writer 20 Januari 2020 289
Megat Shahriman nafi salah guna kuasa
Presiden Persatuan Kanu Malaysia (MASCA), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin, menafikan dakwaan beliau menyalahgunakan jawatannya dalam akaun peribadi syarikatnya.

Beliau menolak dakwaan itu kerana majoriti daripada jumlah dana MASCA adalah 95 peratus melaluinya yang menggunakan wang peribadi.

Ia sebagai reaksi terhadap tindakan ahli gabungan badan itu yang mengemukakan surat hilang kepercayaan terhadapnya kerana dakwaan salah guna akaun berkenaan.

"Saya pasti saya satu-satunya individu yang meletakkan wang dalam akaun MASCA untuk pembangunan negara. Jika ada individu lain yang mengatakan telah meletakkan wang mereka, sila tampil ke depan. Ia sedang dipantau dan akan dikongsi kepada orang ramai. Sejak saya ambil, ia 100 peratus milik saya," katanya.

"Duit daripada Majlis Sukan Negara (MSN) atau Kementerian Belia dan Sukan (KBS) ada dalam empat kali telah masuk dan direkod. Mereka juga memiliki rekod itu."

Dalam masa sama, Megat Shahriman turut menjelaskan beliau mahu melepaskan jawatan presiden MASCA kerana kini sudah menjawat dua jawatan lain dalam bidang sukan dan bukan kerana kemelut dalaman badan itu.

"Menyentuh mengenai janji saya untuk melepaskan jawatan, apabila sampai masanya, saya akan tentukan. Apa yang pasti, saya tidak akan 'U-turn' tetapi perlukan sedikit masa lagi bagi menyelesaikan beberapa isu pentadbiran.

"Saya minta timbalan presiden MASCA agar bersabar, sampai masa saya akan lepaskan jawatan. Saya perlu pastikan peralihan kuasa dalam badan ini dijalankan dengan baik dan individu yang benar-benar layak menggantikan saya," tambahnya.




Editor: Nafis Abdullah

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen