Presiden Persatuan Kanu Malaysia (MASCA), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin, menafikan dakwaan beliau menyalahgunakan dana sejak memimpin badan induk sukan air itu.

Megat Shahriman dalam satu kenyataan menegaskan bahawa dakwaan Naib Presiden Satu MASCA, Raja Shahrul Azremel Raja Shahar, berhubung perkara itu tidak berasas sama sekali dan meminta mana-mana pihak untuk meneliti akaun persatuan berkenaan.

“Saya memberi jaminan saya tidak mengambil sebarang wang MASCA untuk kegunaan peribadi atau melakukan transaksi yang meragukan. Hanya pihak terdesak yang akan membuat tuduhan sedemikian,” katanya.

Dalam masa sama, Megat Shahriman mendedahkan beliau sedang melaksanakan audit MASCA berhubung kos penganjuran Kejohanan Kanu Polo Asia 2017 di Batu Pahat, Johor, mencecah hampir RM500,000 yang tidak pernah diaudit dan dibentangkan dalam mana-mana mesyuarat agung tahunan persatuan berkenaan.

Hari ini, Timbalan Presiden MASCA, Datuk Michael Wong, Raja Shahrul Azremel dan beberapa ahli gabungan MASCA menghantar petisyen undi tidak percaya kepada Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS) berhubung dakwaan beberapa salah laku melibatkan Megat Shahriman sebagai presiden MASCA bagi penggal 2018-2021.

September tahun lalu, beberapa ahli gabungan badan induk sukan air itu dikatakan mengemukakan surat hilang kepercayaan terhadap Megat Shahriman yang didakwa menjadi dalang sebelum bermulanya Sukan SEA Filipina bulan lalu.

Tindakan itu berpunca daripada Megat Shahriman yang dikatakan campur tangan dalam urusan pemilihan atlet dan pegawai ke Sukan SEA walaupun telah melalui prosedur pemilihan yang sah.

-- BERNAMA