Peninju profesional negara, Muhammad Meeraj Khan, meminta Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengambil langkah proaktif selepas juara welterweight Persatuan Tinju Dunia (WBA), Manny Pacquiao, merancang untuk membuka akademi di negara ini.

KBS seharusnya merebut peluang selepas Pacquiao mengumumkan rancangan untuk membuka akademi di Malaysia selepas meraikan kejayaan menumbangkan Lucas Mattysse dari Argentina menerusi TKO dalam perebutan tali pinggang welterweight WBA "Fight Of Champions", semalam.

Bagi Meeraj, ia diibaratkan satu peluang keemasan bagi arena tinju profesional negara untuk terus berkembang.

"Saya rasa KBS perlu memberikan sokongan penuh. Memandangkan banyak kekangan dan halangan, atlet dari luar perlu diberikan ruang untuk membolehkan mereka membantu Malaysia.

"Hanya berikan jalan untuk mereka buktikan sama ada mereka benar-benar mahu membantu sukan tinju di Malaysia," katanya.

Selain Meeraj, Malaysia turut memiliki peninju profesional berbakat seperti Muhammad Farkhan Haron, Theena Thayalan dan Aiman Abu Bakar.