Persatuan Kriket Malaysia (MCA) hari ini mengorak selangkah ke hadapan dalam usaha mengangkat martabat sukan itu apabila menawarkan kontrak sebagai pemain tetap kepada 21 pemain daripada skuad lelaki kebangsaan.

Presiden MCA, Mahinda Vallipuram, berkata langkah berkenaan adalah salah satu usaha badan induk kriket kebangsaan itu untuk menyuntik semangat serta motivasi dalam kalangan pemain bagi meneruskan kecemerlangan mengharumkan nama negara di pentas dunia.

Katanya, kontrak selama setahun itu yang mempunyai beberapa peringkat menawarkan jumlah elaun di antara RM750 dan RM2,500, juga sebagai tanda penghargaan kepada pemain yang gigih berlatih selama ini meskipun mempunyai komitmen kerja di luar.

“Beberapa tahun lalu, kami pernah memberi kontrak kepada pemain tetapi kali ini kontraknya lebih sistematik. Ia (kontrak) adalah hasil perbincangan semua pihak, termasuk wakil pemain dan pastinya sedikit-sebanyak ia dapat memberikan sesuatu yang positif kepada barisan pemain.

“Kami berjaya tampilkan prestasi terbaik sejak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) dan kontrak ini adalah langkah tepat jika kami mahu terus berjaya di peringkat tertinggi.

"Harapan saya adalah untuk melihat kualiti sukan kriket negara meningkat,” katanya ketika ditemui dalam majlis menandatangani kontrak pemain kebangsaan di Kinrara Oval, hari ini.

Mahinda, bagaimanapun, menegaskan setiap tiga bulan, kontrak tersebut akan dinilai semula oleh barisan panel terpilih dengan mengambil kira beberapa faktor, antaranya kedatangan pemain demi menjaga kualiti prestasi pasukan negara.

Jelas beliau, pemain yang gagal menunjukkan prestasi baik dalam tempoh tiga bulan itu bakal diturunkan ke peringkat lebih rendah sementara pemain yang menampilkan peningkatan bakal dinaikkan ke peringkat lebih tinggi.

“Keperluan bagi mereka (pemain) ialah untuk menghadiri sekurang-kurangnya 80 peratus program latihan. Ini adalah antara cara kami memantau perkembangan pemain yang dikawal selia oleh jawatankuasa pemilihan. Kami ada beberapa kejohanan dan daripada situ juga, kami akan melihat dan melakukan semakan,” katanya.

Sementara itu, penolong kapten, Mohd Shafiq Sharif, memuji usaha MCA itu selain menyifatkan sistem penilaian kontrak itu akan memastikan dia serta rakan sepasukan sentiasa berusaha gigih untuk meningkatkan tahap prestasi.

“Bagi saya, ini satu perkembangan yang bagus untuk semua pemain. Bila ada kontrak, pertamanya kami akan rasa selamat. Keduanya bila ada sistem penilaian, ini beri kami satu perasaan yang karier kami sentiasa berada di hujung tanduk dan membuka peluang kepada pemain di bawah untuk naik ke atas,” jelasnya.

-- BERNAMA