Bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Wira Mazlan Ahmad, mendesak Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), mengambil tindakan terhadap jaguh lempar cakera, Muhammad Irfan Shamsuddin, yang mengkritik Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, secara terbuka.

Mazlan terkejut dengan keberanian atlet kebangsaan itu mengkritik pegawai utama sukan negara menerusi laman sosial.

Situasi itu jauh berbeza berbanding zamannya pada era 90-an di mana atlet lebih berdisiplin.

Jadi, ujarnya, KOM perlu mengambil tindakan terhadap Irfan menerusi Jawatankuasa Disiplin.

"KOM harus memanggil jawatankuasa tatatertib bagi membincangkan tindakan yang dilakukan atlet tersebut. KOM sebagai badan induk perlu memandang serius terhadap isu yang telah berlaku," kata Mazlan.

Irfan selaku pemegang rekod kebangsaan, Selasa lalu mempersoalkan pelan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq, untuk membantu atlet negara.

Juara bertahan Sukan SEA itu kecewa apabila perancangannya berlatih di Eropah ditolak selain kehilangan jurulatih yang ditamatkan kontrak.

Bagaimanapun, Irfan, MSN dan KOM sudah mengadakan pertemuan di Bukit Jalil dengan keputusan mengenai status atlet kelahiran Negeri Sembilan itu dijangka diputuskan Selasa ini.