Floyd Mayweather Jr. berkata dia sudah bersedia untuk bertarung dengan juara lightweight UFC, Khabib Nurmagomedov.

Nurmagomedov melontarkan cabaran terhadap Mayweather selepas kejayaan mengekalkan kejuaraan dalam pertarungan UFC 229 awal bulan ini, dengan lawannya, Conor McGregor, menyerah kalah dalam pusingan keempat.

Terdahulu, McGregor turut berdepan Mayweather di gelanggang tinju pada Ogos tahun lalu dan hanya mampu bertahan 10 pusingan sebelum tewas dengan keputusan TKO.

Mayweather kesudahannya mengekalkan rekod sempurnanya sebelum bersara dan kini mengalihkan tumpuannya terhadap Nurmagomedov pula.

“Kami akan bertarung,” Mayweather memberitahu TMZ Sports.

“Saya adalah bos saya sendiri. Saya tidak dapat katakan apa yang berlaku di pihak Khabib tapi di pihak saya sendiri, kami boleh menjadikan pertarungan ini satu kenyataan.”

Ditanya apakah cadangan pertarungannya dengan Nurmagomedov – yang juga belum tewas – adalah pertarungan tinju atau seni bela diri campuran, Mayweather tidak ragu-ragu dalam jawapannya.

“Siapakah yang mencabar? Maknanya dia yang harus datang ke dunia saya,” kata Mayweather yang menjangkakan habuan sembilan angka jika persetujuan mampu dimeterai.

"Saya menonton dalam satu temu bual, dia berkata dia menjatuhkan Conor McGregor. Dia kata saya tidak merebahkan McGregor. OK, Khabib, kita akan lihat nanti.”

Sudah lama juga diura-urakan bahawa Mayweather akan berdepan Manny Pacquiao dalam satu pertarungan ulangan. Juga dilaporkan Mayweather akan keluar daripada persaraan untuk satu pertarungan ulangan UFC dengan McGregor.

Nurmagomedov dan McGregor ketika ini, bagaimanapun, digantung sementara oleh Surahanjaya Sukan Nevada gara-gara pergaduhan yang tercetus selepas pertarungan UFC 229 itu, dengan hukuman lanjut akan diputuskan dalam satu mesyuarat Rabu ini.