Kelab Belia Malaysia (MAYC) Terengganu berikrar terus menyemarakkan penglibatan ahli-ahlinya dalam sukan sekaligus merancakkan pembangunan bidang itu di Terengganu.

Pengerusi MAYC Terengganu, Amirullah Othman berkata, Terengganu mempunyai 105 kelab belia dengan jumlah sehingga 250 ahli setiap kelab – jumlah terbanyak berbanding negeri-negeri lain.

Menurutnya, jumlah seramai itu di seluruh negeri telah memberi kelebihan kepada Terengganu mengenalpasti bakat-bakat baharu terutama dalam bidang sukan untuk diketengahkan.

Peranan kelab belia di setiap kawasan daerah juga menyumbang penemuan atlet di peringkat akar umbi dibantu kegiatan aktif pelbagai kejohanan peringkat dalaman.

“Majoriti ahli yang aktif berumur 28 hingga 40 tahun. Selain itu, ramai ahli yang masih di bangku sekolah dengan usia seawal 15 tahun sudah mendaftar bersama kelab belia masing-masing.

“MAYC Terengganu memberi kepercayaan kepada daerah-daerah untuk mengendali sukan khusus,” ujarnya.

Amirullah ditemui selepas meraikan kejayaan kontinjen Terengganu muncul juara keseluruhan Kejohanan Sukan dan Karnival Kebudayaan (KSKK) 2017 di Kuala Terengganu, malam tadi.

Turut hadir ialah Presiden MAYC Malaysia, Mohd Syahbuddin Hashim dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Datuk Mohd Zuber Embong.

Terengganu meraih tiga pingat emas, satu perak dan dua gangsa pada KSKK 2017 yang diadakan di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, bulan lalu.

Tiga pingat emas disumbangkan melalui acara sepak takraw, ping pong berpasukan lelaki dan ‘tresure hunt’ manakala skuad badminton berpasukan lelaki meraih perak.

Tidak ketinggalan badminton berpasukan wanita dan ping pong berpasukan wanita yang memenangi dua pingat gangsa.

Kali terakhir negeri itu bergelar juara keseluruhan ialah pada 2013 ketika menjadi tuan rumah dan kejohanan seterusnya akan berlangsung di Perak pada 2019.