Setiausaha Kehormat Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM), Mae Chen, menganggap masih terlalu awal untuk meletakkan harapan tinggi kepada perenang negara, Welson Sim, di pentas Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Mae mahu Welson menggandakan latihan walaupun meraih pingat emas dalam Kejohanan Renang Victoria di Melbourne semalam susulan kejayaan menewaskan juara Olimpik Rio 2016, Mack Horton, dalam acara 200 meter gaya bebas.

Mae juga menegaskan masih terlalu awal untuk ASUM memutuskan Welson menjadi taruhan utama dalam saingan di Tokyo nanti.

Justeru, dia perlu mempamerkan prestasi terbaik dalam Kejohanan Terbuka Malaysia, April depan yang akan menjadi medan untuk dia melayakkan diri ke Kejohanan Dunia, Julai depan.

"Masih terlalu awal untuk menjangkakan apa yang akan berlaku dalam Sukan Olimpik.

"Sasarannya kini adalah untuk layak ke Kejohanan Dunia dan selepas itu barulah dia boleh memikirkan tentang Sukan Olimpik.

"Dia akan meneruskan latihannya sehingga Jun depan dan beberapa kejohanan antarabangsa akan membantunya untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik," katanya.

Ketika ini, Welson sedang menjalani latihan intensif di bawah kendalian Craig Jackson selama lima bulan di Melbourne dan pengendali terkenal itu pernah membimbing Horton memenangi emas dalam saingan Olimpik Rio 2016.

"Welson ketika ini sedang menjalani latihan di Melbourne sejak penghujung bulan lalu.

"Ia merupakan kejohanan pertama yang disertainya tahun ini.

"Dua pingat emas, satu perak dan satu gangsa serta satu rekod kebangsaan merupakan pencapaian yang luar biasa.

"Bagaimanapun, masih banyak usaha yang perlu dilakukannya bagi melayakkan diri ke Sukan Olimpik," tambahnya.