Persatuan Kenu Malaysia (Masca) adalah antara yang paling awal menjelaskan hutang RM60,000 kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) bagi perbelanjaan atlet kategori B ke Sukan Asia Indonesia 2018, Ogos lalu.

Presiden MOM, Datuk Seri Norza Zakaria, mendedahkan sembilan persatuan sukan gagal menjelaskan hutang yang kini mencecah RM300,000.

Namun, Masca tidak termasuk dalam sembilan persatuan itu kerana sudah menjelaskan kembali pinjaman sejurus berakhir Sukan Asia lalu walaupun sukan itu menghantar jumlah atlet paling ramai (44 atlet).

Masca enggan menimbulkan sebarang masalah yang boleh menjejaskan nama persatuan itu, apatah lagi mereka juga dalam persediaan ke Sukan SEA Filipina 2019.

"Berdasarkan kemampuan pasukan dan perbincangan dengan atlet, kami berjaya mengumpulkan wang bagi membayar kembali perbelanjaan yang dikeluarkan MOM," kata pengurus pasukan kenu Sukan Asia 2018, Mohd Hisyam Sah Nuddin.

Presiden Persekutuan Luncur Beroda Malaysia (Myskate), Ahmad Idroose Mohad Tambarin, mengesahkan pihaknya tidak terikat dengan sebarang hutang dengan MOM kerana sudah menjelaskan pembayaran hampir RM10,000.

"Myskate bebas daripada hutang MOM kerana kami telah melunaskan segala perbelanjaan.

"Ia tidak menjadi masalah memandangkan kami hanya menghantar seorang atlet dengan perbelanjaan di bawah RM10,000," katanya.