Presiden Persatuan Kanu Malaysia (MASCA), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin, berdepan kemungkinan hilang jawatan selepas lapan daripada 13 ahli gabungan persatuan itu menyerahkan petisyen undi tidak percaya terhadapnya kepada Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PJS).

Timbalan Presiden MASCA, Datuk Michael Wong, bersama lima ahli gabungan hadir ke Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS) hari ini untuk menyerahkan dua petisyen daripada ahli lembaga MASCA dan exco yang mendakwa Megat Shahriman hilang kelayakan untuk jawatan presiden.

Ini selepas sembilan daripada 13 exco dan lapan ahli gabungan menandatangani petisyen undi tidak percaya terhadapnya.

"Banyak yang mengatakan beliau mahu meletak jawatan. Saya tidak mahu selepas ini terdapat individu yang menuntut wang penajaan daripada persatuan. Terdapat transaksi yang meragukan telah dilakukan menggunakan akaun persatuan, namun saya enggan melabel perkara ini sebagai 'pengubahan wang haram'," kata Michael.

"Saya sedia disaman dan menunggu dia untuk melakukan perkara tersebut."

Justeru, MASCA perlu mengadakan mesyuarat agung khas dalam masa 30 hari dari tarikh penerimaan permintaan mesyuarat itu diadakan.

"Saya tidak akan mempertahankan jawatan naib presiden MASCA kerana saya perlu bertanggungjawab kerana telah menyokong Megat Shahriman selama ini. Saya adalah bertanggungjawab kepada gabungan serta kesal di sebalik perkara yang telah berlaku."

Sebelum ini, MASCA turut berdepan kekeliruan ekoran mempunyai tiga perlembagaan yang bercanggah, bagaimanapun PPS telah menetapkan badan induk itu harus mengikut perlembagaan 2002.

Sementara itu, Presiden Persatuan Kanu Kuala Lumpur, Raja Shahrul Azremel Raja Sahar, berharap penyerahan petisyen undi tidak percaya terhadap Megat Shahriman menjadi jalan penyelesaian terhadap kemelut yang melanda MASCA sejak tahun lalu.

"Jika kemelut ini dapat diselesaikan, kami sebagai ahli gabungan berharap MASCA dapat menjalankan perancangan seperti yang ditetapkan," katanya.



Editor: Ammar Hakim