Timbalan Presiden Persatuan Kanu Malaysia, (MASCA), Datuk Michael Wong, mengadakan pertemuan dengan Pesuruhjaya Sukan (PJS), Prof Madya Dr. Wirdati Mohd Radzi, hari ini.

Ia selepas ahli gabungan badan induk itu mengemukakan surat hilang kepercayaan terhadap presiden, Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin.

Sebelum ini, MASCA berdepan pelbagai kontroversi menjelang Sukan SEA Filipina bulan lalu dan presiden berkenaan dikatakan menjadi dalang kepada kemelut itu.

Megat Shahriman, yang membayangkan akan melepaskan jawatan itu, bagaimanapun, akan menerima surat hilang kepercayaan daripada ahli gabungannya.

"Sebenarnya surat itu (ada) dua, satu dihantar tahun lalu oleh EXCO," kata Michael di Pejabat PJS, Bukit Jalil hari ini.

"Dalam seminggu dua ini, kami (ahli gabungan) akan membuat surat undi tidak percaya kerana banyak isu.

"Bukannya dengan meletak jawatan boleh menyelesaikan semua perkara.

"Hari ini, saya datang ke PJS untuk membawa dua isu.

"Yang pertama, kami mahu tahu perlembagaan mana yang boleh digunakan oleh MASCA.

"Kerana saya diberitahu bahawa MASCA sekarang mempunyai tiga perlembagaan yang bercanggah.

"Yang kedua, kami juga mahu memohon pendapat sama ada mahu meneruskan EGM (mesyuarat agung luar biasa) atau mengadakan AGM (mesyuarat agung tahunan) baru," katanya lagi.


Editor: Muzaffar Musa