Masa depan jurulatih pelayaran negara, Mohd Affendy Abdullah, akan diputuskan selepas Majlis Sukan Negara (MSN) mengadakan perbincangan dengannya minggu ini.

Sebelum ini, Affendy melahirkan kekecewaan apabila MSN tidak menawarkannya kontrak bagi membimbing atlet dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Pengarah Bahagian Atlet MSN, Jefri Ngadirin, berharap Affendy dapat bersabar memandangkan pertemuan itu turut akan disertai Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail, bagi mendalami isu berkenaan.

"Kontraknya bersama Program Podium telah tamat pada September tahun lalu.

"Dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan lalu, pihak persatuan telah mengemukakan cadangan mereka dan kami selaku Jawatankuasa Pemilihan telah meminta pihak persatuan untuk memperbincangkan perkara itu bersamanya.

"Datuk Ahmad Shapawi akan bertemu dengan Affendy dan Khairul Nizam bagi mendapatkan pandangan daripada jurulatih dan atlet.

"Jika kami perlu menyambung kontraknya, ia tidak menjadi masalah dan jika tidak, kami akan mencari jurulatih lain ," katanya.

Mengenai isu pemain sepak takraw yang tidak mendapat pelepasan untuk ke kem latihan pusat, MSN berjanji akan segera membantu menyelesaikan masalah itu.

"Perkara itu perlu kembali diperbincangkan.

"Sebelum ini pihak Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) bersetuju untuk mengurus segala urusan mereka sendiri.

"Selepas perkara seperti ini berlaku, kami akan kembali mengambil alih dan mencari jalan penyelesaian segera," tambahnya.