Jurulatih memanah para negara, Marzuki Zakaria, mungkin terpaksa mencari atlet wanita baru bagi skuad recurve dalam menghadapi Sukan Para Asia Jakarta-Palembang yang hanya berbaki tujuh bulan lagi.

Sebelum ini, Marzuki masih lagi bergantung kepada L. Ananthy yang unggul menghadiahkan dua gangsa ketika Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017.

Bagaimanapun, selepas berakhir temasya dwitahunan itu, atlet tersebut gagal dikesan dan Marzuki terpaksa mencari pengganti bagi menghadapi Sukan Para Asia, Oktober ini.

Turut menambah kerunsingannya adalah ketiadaan seorang lagi pemanah, Rozana Mail dari Sabah, yang tidak dapat dikesan.

"Buat masa ini, skuad memanah para negara masih kekurangan atlet wanita dan kami sedang berusaha untuk mencungkil bakat untuk diserapkan ke dalam pasukan dan untuk dibawa ke Jakarta," kata Marzuki.

Dengan ketiadaan Annathi, Malaysia mungkin terpaksa melupakan saingan recurve wanita individu dan campuran.

Meskipun mempunyai tempoh tujuh bulan untuk merekrut atlet baru, ia adalah sukar untuk mendidik atlet terbabit untuk bersaing di peringkat Asia.

"Kami telah melakukan yang terbaik untuk mereka bagi saingan pada tahun lepas. Atlet yang beraksi dalam Sukan Para ASEAN telah diberikan pendedahan sebelum menghadapi kejohanan dan kami telah melakukan perkara yang sama.

"Tetapi setakat ini, di atas masalah peribadi yang dihadapi, atlet-atlet ini masih tidak menghadirkan diri bagi menjalani latihan."