Presiden Persatuan Sepak Takraw Selangor, Datuk Markiman Kobiran, menjadikan visi untuk menubuhkan akademi takraw kebangsaan sebagai salah satu manifestonya menjelang pemilihan jawatankuasa baru Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) 24 Jun depan.

Kemerosoton prestasi skuad kebangsaan, yang ditambah kekurangan pemain berkaliber, menjadi pendorong Markiman untuk melancarkan manifestonya itu.

Penubuhan akademi dianggap satu platform terbaik, apatah lagi Malaysia kerap bergantung kepada muka sama untuk setiap kejohanan.

"Latihan dan perkembangan atlet-atlet yang menyerlah di peringkat daerah tidak dapat diteruskan tanpa akademi yang khusus. Ia tidak bermaksud untuk mewakili Malaysia tetapi meningkatkan mutu sepak takraw negara," katanya.

Untuk pemilihan kali ini, Markiman menyatakan hasrat untuk mencabar Datuk Seri Ahmad Ismail bagi merebut jawatan presiden badan induk itu.

Ismail sudah pun memegang kerusi nombor satu PSM itu selama empat penggal berturut-turut sejak 2002 manakala untuk Markiman, tiga negeri, iaitu Kedah, Perlis dan Terengganu, sudah pun menyatakan sokongan terbuka buatnya dalam membentuk perubahan baru dalam PSM.

"Dengan hanya beberapa negeri, ia tidak memadai untuk menduduki kerusi panas PSM. Persaingan ini adalah sesuatu yang sihat bagi memastikan peningkatan mutu sukan ini," katanya lagi.