Skuad ragbi 15's negara menerima tamparan hebat apabila dikejutkan dengan berita penarikan diri salah seorang pemain tonggak, Marc Lee, yang tiba-tiba meninggalkan kem kebangsaan semalam.

Marc, pemain profesional yang beraksi bersama Hino Red Dolphin dalam Liga Ragbi Jepun, mengambil keputusan keluar dari kem kebangsaan tatkala Malaysia bakal menghadapi Korea Selatan bagi Divisyen Perdana, Kejohanan Ragbi Asia di Bukit Jalil, hujung minggu ini.

Ia menimbulkan pertanyaan adakah berlaku perselisihan faham di antara Marc dan barisan kejurulatihan?

"Saya menarik diri atas sebab peribadi tanpa perlu menjelaskan lebih lanjut untuk kebaikan pasukan.

"Saya rela menyerahkan jersi kepada pemain yang mampu memberikan komitmen penuh kepada pasukan negara," ujarnya.

Malaysia sebelum ini sudah pun terpaksa melupakan khidmat pemain di posisi prop, K. Dineshwaran, yang mengalami kecederaan bahu sejak Disember lalu.

Ketiadaan Marc pastinya akan memberi kesan kepada persiapan skuad kebangsaan, apatah lagi dia juga menjelaskan tidak akan lagi bersama pasukan negara sepanjang kempen Malaysia dalam kejohanan itu.

"Malangnya, ia melibatkan seluruh kejohanan dan saya bersedih akan keadaan ini tetapi tetap berpegang kepada keputusan yang dibuat. Saya tidak akan menyertai pasukan untuk kempen kali ini.

"Jika diberi peluang pada tahun depan, saya akan cuba memberikan komitmen sepenuhnya," tambahnya.