Bekas jaguh bina badan negara, Datuk Malek Noor, merupakan salah seorang daripada lima nama yang dicalonkan untuk jawatan pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) dengan keputusan akan dibuat dalam masa terdekat.

Malek adalah satu-satunya bekas atlet yang tercalon sebagai pengerusi YAKEB berdasarkan dia pernah memegang jawatan itu selama dua tahun bermula 2015 dengan tugas utama menjaga kebajikan lebih 3,000 bekas atlet kebangsaan.

Beberapa pegawai YAKEB sudah mengemukakan senarai calon pengerusi kepada Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, di Putrajaya dengan keputusan akan dibuat dalam masa terdekat.

"Kewibawaan adalah untuk membawa masuk dana. Jika bekas atlet boleh melakukannya, keutamaan mungkin akan diberi kepada mereka. Bagaimanapun, ia bergantung kepada menteri untuk membawa calon tersebut.," kata ahli lembaga pengarah YAKEB, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed.

Kerusi pengerusi YAKEB kosong sejak Oktober lalu selepas bekas pemain skuasy kebangsaan, Azlan Iskandar, meletakkan jawatan.

Sementara itu, YAKEB merancang menubuhkan tabung wira negara untuk mencari dana bagi menampung kos perubatan ahli mereka dalam usaha meringankan beban kerajaan.

"Tabung itu akan dirasmikan tidak lama lagi. Kami sedang mendapatkan reaksi daripada syarikat korporat di luar untuk membantu kami menjayakan tabung ini."

Senarai calon pengerusi YAKEB:

Datuk Malek Noor - Bekas atlet bina badan negara
Datuk Seri Megat Shahriman Zaharudin - Ahli perniagaan
Datuk Noorul Ariffin Abd Majeed - Ahli lembaga pengarah YAKEB
Datuk Ahmad Shapawi Ismail - Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN)
Datuk Rashid Hasnon - Timbalan Speaker Dewan Rakyat