Jurulatih skuad ragbi tujuh sepasukan wanita negara, Nik Safuan Ismade, berharap agar Singapura selaku penganjur Kejohanan Asia Tenggara 2019 dapat menetapkan tarikh pertandingan secepat mungkin agar tidak menjejaskan perancangan yang diatur.

Kejohanan Asia Tenggara menjadi medan ujian terbaik buat skuad wanita negara untuk menguji kemampuan awal sebelum menghadapi Sukan SEA di Filipina, 30 November-11 Disember depan.

Bagaimanapun, masih belum ada pengesahan akhir oleh Singapura yang sepatutnya menganjurkannya pada April depan.

Perkara itu secara tidak langsung menggugat perancangan Nik Ismade, khususnya dalam mempersiapkan pasukan untuk menghadapi satu lagi tugasan penting, iaitu Siri Asia Sevens Ogos depan.

"Cuma, Kejohanan Asia Tenggara 2019 ini masih belum ditetapkan tarikh. Kalau mengikut dana yang kami akan dapat, ia masih belum cukup untuk keluar. Kami juga mengharapkan aksi persahabatan di luar seperti Thailand dan Singapura," katanya.

Seramai 28 pemain dipilih oleh Nik Safuan bagi kem latihan pusat kali ini untuk menghadapi Borneo Sevens di Sandakan, Sabah bulan depan.

Dia hanya akan mengurangkan jumlah kepada 16 pemain selepas pertandingan berkenaan sebagai asas utama untuk Asia Sevens serta Sukan SEA.

Skuad wanita negara meraih pingat gangsa dalam Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur selain muncul juara Trofi Asia di Brunei Darussalam tahun lalu sehingga melayakkan mereka ke siri Asia Sevens buat julung kalinya.

"Senarai pendek akan dikeluarkan selepas Borneo Sevens. Di situ, kami akan melihat kemampuan pemain sama ada boleh mengikut keperluan pasukan atau bakat yang boleh diketengahkan. Saya juga akan menggugurkan beberapa pemain."