Malaysia sasar 40 emas untuk bergelar juara ASG 2018

Oleh Staff Writer 17 Julai 2018 223
Malaysia sasar 40 emas untuk bergelar juara ASG 2018
Kelebihan selaku tuan rumah menjadi sandaran utama buat kontinjen negara untuk meletakkan sasaran bergelar juara keseluruhan buat kali ketiga menjelang Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN (ASG) 2018 yang bermula Sabtu ini.

Kejohanan yang memasuki edisi ke-10 itu menyaksikan kontinjen negara diwakili 192 atlet di bawah Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) yang dipimpin oleh 46  jurulatih dan pegawai.

Antara atlet kebangsaan yang mengambil bahagian adalah Alice Chang daripada sukan ping pong, atlet lontar tukul besi, Grace Wong, serta Izzah Amzan yang beraksi dalam sukan gimrama.

Ia merupakan kontinjen terbesar dalam edisi kali ini, dengan anggaran hampir 1,100  atlet dari seluruh negara ASEAN akan mengambil bahagian.

Malaysia pernah menjadi johan keseluruhan sebanyak dua kali, iaitu ketika menjadi tuan rumah pada 2010 dan empat tahun lalu di Filipina manakala penyertaan di Singapura  tahun lalu menyaksikan kontinjen negara menduduki tangga keempat keseluruhan.

Sebanyak 11 jenis sukan dipertandingkan yang membabitkan 123 pingat emas dan ketua kontinjen negara, Zainal Abas, menyasarkan 40 emas perlu diraih bagi membolehkan Malaysia muncul juara keseluruhan.

"Jika dilihat daripada segi kelompok atlet yang dikumpulkan  kali ini, memang kami jangkakan Malaysia muncul juara. Sebanyak 123 pingat emas dipertandingkan dan kami menyasarkan sekurang-kurangnya 40 emas mampu diraih," katanya.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen