Pemerhati sukan negara, Dr. Mohamad Faithal Hassan, mencadangkan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) melantik seorang timbalan chef-de-mission (CDM) Sukan Olimpik Tokyo 2020 untuk membantu bekas perseorangan badminton, Datuk Lee Chong Wei, yang akan mengetuai kontinjen negara ke temasya itu.

MOM perlu realistik dalam meletakkan beban tugas di bahu Chong Wei kerana dia yang lebih banyak menghabiskan masa di gelanggang badminton tidak memiliki pengalaman dalam soal menguruskan kontinjen negara ke temasya seperti Sukan Olimpik.

Satu langkah baik untuk menghantar dua pegawai MOM mengiringi Chong Wei dalam seminar CDM di Tokyo, Ogos depan, namun langkah yang lebih praktikal ialah melantik timbalan CDM secara tetap.

"Saya berasakan adalah wajar untuk mendapatkan timbalan CDM bagi membantu Chong Wei ke Tokyo 2020 nanti. Pengalaman yang dimiliki oleh individu dipilih dapat memberikan pengetahuan yang lebih mendalam kepada Chong Wei."

Tugas CDM biasanya diberikan kepada pegawai persatuan sukan kebangsaan, namun keutamaan mula terarah kepada bekas atlet apabila bekas atlet olahraga, Datuk Marina Chin, dilantik CDM Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 selain Nurul Huda Abdullah (renang), timbalan CDM Sukan SEA Filipina 2019.