"Negara masih perlukan atlet kategori B," itu komen Ahli Jawatankuasa Pemilihan Atlet, Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Dr. Ramlan Abdul Aziz, menjelang mesyuarat pertama untuk menetapkan had kelayakan ke Sukan SEA Filipina 2019, Isnin ini.

Banyak kelemahan perlu dikaji dalam Sukan Komanwel dan Sukan Asia 2018 bagi menetapkan penyertaan atlet negara dalam sukan bertemasya.

Antaranya kedudukan atlet kategori B yang terlalu ramai dalam Sukan Asia Indonesia hingga Malaysia menghantar kontinjen terbesar dalam sejarah dengan 417 atlet.

Ia antara perkara yang akan dibincangkan bersama pengerusi, Tan Sri Dr M. Jegathesan dan bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Wira Mazlan Ahmad.

"Atlet dalam kategori A adalah prospek emas negara manakala dalam kategori B untuk sebab dan tujuan lain serta dibenarkan untuk mengambil bahagian dalam sesuatu kejohanan, kami perlu menilainya secara menyeluruh sebelum dianggap gagal atau sebaliknya," kata Dr. Ramlan.

Sebelum ini, MOM menetapkan had kelayakan Sukan Asia sekurang-kurangnya ranking keempat Asia.

Bagaimanapun, MOM dilihat terlalu lembut dalam pemilihan atlet kategori B, sekali gus turut menghantar sukan rekreasi seperti contract bridge, jet ski dan paragliding.