Kinrara Oval diberi penghormatan untuk menjadi venue Kejohanan Kelayakan Kriket Piala Dunia T20, Jun depan.

Proses kelayakan itu membabitkan enam negara, termasuk Malaysia, untuk memburu tiket pusingan akhir.

Situasi terbaru itu menawarkan lebih banyak masa kepada Persatuan Kriket Malaysia (MCA) untuk menyelesaikan isu tapak Kinrara Oval.

Ini kerana pihak pemaju masih dalam rundingan untuk mendapatkan semula tapak seluas lima ekar itu bagi tujuan pembangunan setelah campur tangan kerajaan menyaksikan Kinrara Oval dikekalkan untuk sekurang-kurangnya sehingga Jun depan.

Satu majlis turut diadakan di venue itu hari ini apabila pemain senior lelaki ditawarkan kontrak selama setahun oleh MCA sebagai inisiatif badan induk itu dalam memastikan kebajikan pemain terjamin.

Apatah lagi, mereka tidak ditawarkan tempat dalam sistem berperingkat yang diperkenalkan Majlis Sukan Negara (MSN) memandangkan acara kriket tidak dipertandingkan dalam Sukan SEA Filipina dari 30 November hingga 11 Disember depan.