Presiden Karate Goshin-ryu Malaysia, Datuk Clement Soo, menegaskan bahawa Persekutuan Karate-do Malaysia (MAKAF) tidak perlukan jawatankuasa pengurusan krisis seperti yang dicadangkan Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Sebelum ini, MOM merancang untuk menubuhkan jawatankuasa pengurusan krisis secepat mungkin bagi menangani masalah dalaman persatuan kebangsaan seperti yang dialami sukan karate dan luncur ais.

Drama MAKAF berterusan apabila wakil ahli gabungan, iaitu P. Thiagu, menggesa majlis eksekutif badan induk berkenaan menyerahkan semua dokumen berkaitan pentadbiran.

Bagaimanapun, Clement menegaskan pihaknya sudah mengikuti segala undang-undang yang ditetapkan Pesuruhjaya Sukan.

"Semua jawatankuasa MAKAF sudah menerima notis mengenai mesyuarat yang dijalankan pada 4 Mei lalu. Ia tidak bermakna kami tidak boleh jalankan mesyuarat majlis tertinggi. Kami tidak perlukan seseorang datang dan memberitahu setiap langkah yang perlu diambil," katanya.

"Saya rasa perlu bincang dengan MOM atau kementerian bagi menyelesaikan isu ini."

Pada 9 Jun lalu, kumpulan 12 ahli gabungan itu mendakwa mempunyai suara majoriti ketika undi tidak percaya dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang diadakan dan ahli majlis tertinggi diketuai Tan Sri Mohd Ali Rustam telah kehilangan kuasa.