Setiausaha Agung Persekutuan Karate Malaysia (Makaf), Datuk Nur Azmi Ahmad, tidak lepas tangan mengenai masalah berat badan yang membelenggu atlet karate negara, Syakilla Salni Jefry Krishnan, bahkan mengharapkan hasil terbaik buatnya.

Makaf telah berbincang dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN) bagi menukar kategori Syakilla kepada 61kg, tetapi difahamkan KBS mahu dia menjadi prospek pingat emas negara dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020 melalui kategori 55kg.

Memandangkan Azmi juga perlu memberikan tumpuan kepada atlet karate kebangsaan yang lain, dia menyerahkan sepenuhnya kepada KBS dan MSN untuk membantu Syakilla yang kini berada di kedudukan ke-50 terbaik dunia untuk menempah slot ke Sukan Olimpik.

"Adalah menjadi kehendak Syakilla sendiri untuk bertanding dalam kategori bawah 61kg tetapi oleh kerana KBS menuntutnya agar beraksi dalam kategori 55kg, maka kami tidak boleh memberi tumpuan kepadanya semata-mata.

"Ini kerana Makaf juga mempunyai calon lain yang akan bersaing dalam kategori bawah 55 dan 61kg," terang Nur Azmi.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Institut Sukan Negara (ISN), Ahmad Faedzal Md Ramli, mengakui telah membuat pemantauan ke atas berat badan atlet karate berkenaan sebelum Syakilla berlepas ke Amsterdam, Belanda, untuk menjalani program latihan selama tiga bulan.

Beliau menganggap Syakilla mempunyai isu peribadi sehingga memberi kesan buruk terhadapnya, namun beliau sedia membantu atlet berusia 27 tahun itu daripada segi pemakanan dan psikologi bagi mengembalikan fokusnya terhadap latihan.

"Mungkin ada isu peribadi yang perlu dilihat.

"ISN sedia untuk membantunya agar dapat lebih tenang untuknya agar lebih fokus berlatih.

"Itulah perkara paling penting dalam pembangunan atlet," ujarnya.